Friday, October 10, 2008

Berilmu sebelum bersolat itu wajib

Sebelum kita bersolat, terlebih dahulu kita wajib belajar dan menuntut ilmu tentang ibadah yang akan kita kerjakan, supaya nanti ibadah yang kita laksanakan itu molek dan sempurna.

Kerana jika tidak dipelajari, besar kemungkinan ibadah yang kita lakukan itu tidak sah atau rosak. Paling tidak pun, rendah mutunya.

Justeru pentingnya ilmu sebelum beribadah ini maka Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud:

Ilmu itu merupakan imam kepada amal, sedangkan amal itu pula menjadi pengikutnya (sebagai makmum)
Hadith Riwayat Abu Nu’aim.

Sabdanya lagi yang bermaksud:

Bahawasanya tidur dalam keadaan berilmu adalah terlebih baik dari solat dalam keadaan jahil
Hadith Riwayat Abu Nu’aim.

Selain itu, dengan ilmu yang kita pelajari ini, akan membuatkan seseorang itu berasa benar-benar takut kepada ALlah s.w.t. Firman Allah dalam surah Al-Fatir ayat 28 yang bermaksud:

Sesungguhnya yang takut kepada Allah daripada segala hamba-Nya ialah para ilmuan (yang beriman).

Perasaan takut kepada Allah akan menimbulkan rasa kehebatan, keagungan, kebesaran, ketinggian, kemuliaan, dan kekudusan Allah s.w.t.

Dari perasaan takut itulah yang akan menghasilkan khusyuk yang merupakan perkara yang amat penting sekali dalam ibadah solat seseorang hamba Allah yang mahukan kemenangan dunia dan akhirat.

Firman Allah s.w.t dalam surah Al-mukminun ayat 1 - 2 yang bermaksud:

Sesungguhnya telah beruntunglah orang-orang yang beriman, (iaitu) orang-orang yang khusyuk dalam solatnya.

Sekian, wallahu a’lam.

No comments: